Saturday 18 October 2014

JASAMU DIKENANG

"Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa, Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta, Jika hari ini, seorang Presiden sebuah negara, jika hari ini seorang ulama yang mulia, Jika hari ini seorang peguam menang bicara, Jika hari ini seorang penulis terkemuka, Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa." 

-Petikan Sajak 'Guru Oh Guru' Karya Usman Awang

Tidak kita dilahirkan di dunia ini melainkan untuk beribadat dan menjadi khalifah di muka bumi Allah SWT. Pekerjaan atau kerjaya kita pada hari ini merupakan ibadah umum selain ibadah khusus yang menjadi kefardhuan kita seharian. Tanpa guru atau pendidik siapalah kita di muka bumi Allah SWT ini, untuk menyampaikan risalah Kalamullah dan Sabdaan Baginda Rasul s.a.w., Tidak dinafikan lagi Baginda Rasul s.a.w. adalah guru yang terbaik, sesuai dengan firman Allah SWT baginda ialah pembawa rahmat kepada seluruh Alam. Setiap apa yang dikatakan, pekerjaanya, sifatnya, suruhannya, laranganya dan pengakuannya adalah panduan kepada manusia bersumberkan al-Quran dan as-Sunnah.

Dikesempatan ini ingin aku mengambil peluang untuk memberi penghargaan kepada insan-insan yang berjasa mendidik aku semasa pengajian di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) dalam bidang Pendidikan Islam.

PARA PENSYARAH YANG BANYAK BERJASA

TN. HJ. JUMAAT BIN HJ. ABU BAKAR
Ketua Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum MARSAH. Berkelulusan Sarjana Muda Kesusateraan USM, merupakan pesara Pensyarah IPG, Jawatan terakhir beliau Timb. Pengarah IPG Sandakan, Sabah. Selain masters dalam bidang pendidikan, beliau mahir dalam bidang Teknologi Maklumat Komputer dan Teknologi Pendidikan. Mengajar subjek Psikologi Pendidikan semasa semester 1. Sangat berwibawa, tenang dan mudah dibawa berbincang membuatkan beliau begitu disenangi ramai pensyarah, staf dan pelajar. Beliau merupakan insan yang banyak berjasa kepada penubuhan dan perlaksanaan Pengajian Diploma Pendidikan Islam MARSAH yang bakal mengeluarkan Produk Guru-guru Sekolah Agama Kerajaan Johor.

* Tuan Haji Jumaat Abu Bakar telah kembali Rahmatullah pada 30 Disember 2014, jam 9.40 malam di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada usia 68 tahun. Allahyarham masih berkhidmat sebagai Ketua Jabatan JPPU pada ketika itu dan kini disandang oleh Ustazah Hjh. Maleha Lauto. Semoga Roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan para shuhada' dan solehin. 

PN. HJH. MALEHA BINTI LAUTO
Pensyarah Kanan Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum MARSAH. Berkelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Kaunseling UTM, merupakan pesara Pensyarah IPG Temenggong Ibrahim Johor Bahru. Beliau seorang Pensyarah yang gigih dalam memastikan Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum MARSAH mengikuti objektif dan matlamat asal. Mengajar Subjek Kaedah Pengajaran Pend. Islam, Bimbingan Dan Kaunseling dan Aqidah Islamiah. Beliau pensyarah yang suka membuka minda pelajarnya dengan memberi peluang kepada pelajar mengutarakan pendapat dan berkongsi idea kepada umum.


TN. HJ. KASIM BIN SUDIN
Merupakan bekas Pengetua dan Pensyarah IPG. Walaupun sudah bersara , beliau tetap menyumbang bakti sebagai tenaga pengajar di Kolej walaupun padat dengan kegiatan luar. Beliau mengajar Subjek Bahasa Kebangsaan dan Pengajian Malaysia sesuai dengan bidangnya iaitu sejarah dan pengajian melayu. Beliau sering diundang bagi menyampaikan ceramah, bengkel dan seminar berkaitan pengurusan, protokol, sejarah dan sebagainya. Berasal dari negeri Kedah Darul Aman dan sering membuat selingan dalam kelas bercerita mengenai sejarah, isu-isu semasa yang berkaitan dengan tajuk perbincangan dalam kelas.


TN. HJ. MADON BIN RIDZUAN
Bekas Pengetua Sekolah dan Ketua Jabatan di IPG ini berasal dari Simpang Renggam Johor. Beliau beperwatakan tegas namun sangat mesra dengan pelajar. Mengajar Subjek Jawi dan Bahasa Melayu Komunikasi, sering bercerita mengenai pengalaman dan kerjaya beliau untuk dikaitkan dengan apa yang dibincangkan. Aktiviti berkumpulan selalu dilaksanakan, setiap minggu akan diberi tugasan dalam kumpulan dan perlu dibentangkan pada minggu hadapannya. Walaupun tidak bertemu dalam kelas, beliau tetap menjemput para pelajar ke teratak beliau bersama di majlis kenduri atau open house hari raya dengan mengadakan marhaban dan doa selamat.

Y. BHG. DATIN HJH. RUSNAH BINTI MOHAMAD
Isteri kepada Bekas Timb. Mufti Johor dan Felo Jabatan Tahfiz al-Quran MARSAH, YB Sohibus Samahah Dato' Hj. Shaari @ Sanghari bin Abdullah al-Hafiz ini merupakan Pensyarah Sambilan yang mengajar subjek Fiqh 1. Beliau merupakan pesara Pensyarah IPGKTI sangat berpengalaman dalam bidang pendidikan. Menerapkan unsur KBKK dalam pengajaran dan pembelajaran beliau. Banyak memberi cadangan dan tunjuk ajar kepada pelajar dalam mendepani cabaran hidup sebagai guru dalam masa yang sama beliau kerap mendoakan pelajar-pelajarnya berjaya.

* YBhg. Datin Hajah Rusnah telah kembali Rahmatullah pada 14 Februari 2020 (Jumaat) di Segamat, Johor. Semoga Roh Allahyarhama ditempatkan dalam kalangan para syuhada' dan solehin.



PN. HJH. BESAH BINTI MOHD RASIM
Bekas Pensyarah Cemerlang yang berkhidmat di IPGKTI masih berkhidmat di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH). Pesara Pensyarah Jabatan Ilmu Pendidikan ini sangat mahir bidang Pedagogi, Psikologi, Penilaian Pengukuran dan ilmu-ilmu berkaitan pendidikan. Bersuara lantang namun sangat penyanyang, berpenampilan sederhana menjadikan beliau sangat rapat dengan pelajarnya. Tegasnya dalam kaedah perlaksaan latihan mengajar sangat mengagumkan dengan terbitnya nama-nama pelajar seliaanya layak mendapat cemerlang dalam praktikum. 


EN. MOHD SHAH BIN OTHMAN
Pensyarah Teknologi Pendidikan semasa semester 4, Pesara Pensyarah IPG yang kini aktif dalam bidang photografi. Setiap kali Majlis Konvokesyen Kolej, beliau dan krew-krewnya sibuk mengendalikan siaraya dan sesi photografi sepanjang Majlis Istiadat berlangsung. Dalam bilik Kuliah atau Makmal Komputer beliau akan memakai microphone portable bagi memastikan sesi penyampaian kuliahnya di dengari pelajar. Waktu yang terlalu singkat dalam semester membuatkan beliau sentiasa komited dalam memahirkan para pelajarnya akan teknologi dan penggunaan bahan-bahan multimedia dalam proses pengajaran dan pembelajaran bila bergelar guru kelak.


USTAZ MOHD NAHI BIN ABDULLAH
Penolong Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Moral, IPGKTI. Merupakan Pensyarah Sambilan Kolej bagi memenuhi keperluan tenaga pengajar dalam bidang Pendidikan. Bersahaja dalam jenaka itulah identiti beliau, setiap penghujung semester pasti ada sesi jamuan dan doa selamat. Beliau banyak menggalakkan pelajar berfikir dan membaca disamping mempelbagai kaedah penyampaian ilmu pengajian islam. Beliau mengajar subjek Kaedah Pengajaran al-Quran semester 1, Hadith semester 4 dan Tafsir semester 5. Dimaklumkan bahawa beliau kini menyambung pengajian Ph.D secara sepenuh masa di UTM Skudai.


DR. KAMARUL AZMI BIN JASMI
Pensyarah di Fakulti Tamadun Islam , UTM Skudai. Mengajar sambilan di Kolej menjadikan beliau terkenal dengan Academic Writing yang penuh dengan disiplin dan intergriti. Bermula kuliah menjadi kewajipan pelajar untuk mendapatkan tajuk Assignment untuk dibuat Artikel dalam masa dua minggu. Beliau yang mengajar Subjek Sirah semester 4, sangat rajin menulis dan membuat penyelidikan terutamanya dalam bidang pendidikan islam. Antara karangan beliau yang termasyur adalah Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Pendidikan Islam hasil tulisan bersama Prof. Madya Dato' Dr. Ab. Halim Tamuri, Rektor Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) semasa beliau berkhidmat di IPG KPM. 


USTAZ SUHAIMI BIN MUHAMMAD
Berasal dari Negeri Che' Siti Wan Kembang merupakan Pensyarah Penyelia semasa Praktikum semester 6. Beliau adalah Pensyarah di IPG KTI yang kini dalam pengajian Ph.D sepenuh masa di UTM Skudai. Seorang yang sangat ceria, mesra dan peramah. Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran yang di terapkan dalam diri pelajarnya ialah 'Kepimpinan melalui teladan' seperti kaedah pengajaran Rasul s.a.w. dengan mempamerkan akhlak islamiah dalam diri pendidik sebagai agen ikutan kepada murid. Beliau sangat berhikmah dalam pertuturan dan perbuatan menjadikan beliau sangat di sayangi pelajar. Cerita-cerita dari pengalaman beliau sangat menarik perhatian yang boleh di ambil ikhtibar dan pengajaran.


PROF. MADYA HJ. AB. GANI BIN JALIL
'Attakalam bi al-Lughati al-Arabiah' Kata-kata itu boleh dikaitkan dengan Mantan Koordinator dan Ketua Program Kursus (Sijil) Intensif Bahasa Arab (Daurah) MARSAH. Merupakan antara Pensyarah lama khususnya dalam penubuhan MARSAH bersama bekas Ketua Eksekutif MARSAH al-Marhum Ustaz Hj. Mohamed Salleh Sanwan, Ustaz Hj. Mukhtar bin Shihabuddin dan lain-lain. Pernah mengajar Pengajian Islam semasa semester 3, seorang yang sangat disiplin dalam kelas, hasil kerja dan tatacara. Beliau sangat mahir dalam bidang bahasa Arab selain itu beliau juga jadi rujukan dalam bidang Tafsir al-Quran. Insan-insan ini sangat hebat, Perlu ambil manfaat dari mereka.


USTAZ OMAR BIN MOKTI AL-HAFIZ
Pensyarah di Jabatan Tahfiz al-Quran MARSAH ini mengajar subjek Tajwid semester 1 dan Hafazan semester 2. Beliau berasal dari Segamat, Johor berkemahiran dalam bidang Tarannum al-Quran dan Barzanji. Setiap minggu Program Membudayakan al-Quran atau di MARSAH lebih di kenali sebagai 'Muayyasyah al-Quran' beliau adalah Penyelaras Program tersebut. Selepas sesi bacaan al-Quran dan tafsir yang dipimpin seorang pensyarah atau pelajar, akan diadakan pula sesi 'ta'liqat' yang disampaikan oleh pensyarah atau pelajar yang telah ditugaskan bagi memahirkan pelajar dalam pengucapan awam disamping menyelongkar khazanah ilmu disebalik tafsiran ayat al-Quran yang dibacakan setiap minggu.


USTAZAH DZAKIAH AL-MISKIAH BT. MOHAMED SALLEH
Pensyarah Jabatan Pengajian Islam MARSAH dan bekas Ketua Jabatan Usuluddin MARSAH ini mengajar subjek Akhlak semester 1, Ulum Hadith semester 3 dan Ulum al-Quran semester 5. Seorang pensyarah yang baik namun tegas dalam beberapa perkara. Teknik hafalan dalam kaedah pengajaran beliau sangat berkesan, seperti hafalan hadith dan ayat al-Quran serta beberapa fakta yang lain. Selain itu, aktiviti minggu-minggu akhir ulangkaji akan diadakan kuiz secara berkumpulan kepada pelajar dengan merencanakan suatu aktiviti dan permainan ilmiah yang mampu menyumbang kepada idea aktiviti semasa mengajar kelak.


USTAZ MUHAMMAD HAKIM BIN ROSLY
Bekas Pensyarah Jabatan Pendidikan Islam MARSAH ini pernah mengajar subjek Asas Pembelajaran Bahasa Arab semester 2 dan Kaedah Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Arab semester 3 kini dalam pengajian Doktor Falsafah di IIUM dan King Saud University of Arab Saudi dalam bidang Bahasa Arab. Seorang yang sangat bersahaja dan pendiam, walaubagaimanapun beliau sangat cintakan ilmu dan suka berkongsi ilmu yang ada dalam bentuk penulisan atau dalam kuliahnya. Beliau juga Pensyarah Kursus (Sijil) Intensif Bahasa Arab (Daurah) MARSAH bersama Pensyarah-pensyarah hebat yang lain.

USTAZ MOHAMMAD HAIDZIR BIN HUSSIN
Seorang penceramah bebas, Penulis, Pentahqiq dan Penterjemah kitab-kitab Fiqh di Telaga Biru Sdn. Bhd. dahulunya beliau merupakan Pensyarah di Jabatan Syariah Islamiah yang kini dikenali sebagai Jabatan Pengajian Islam MARSAH. Berkelulusan Universiti al-Azhar, Mesir dan banyak berguru dengan ulama'-ulama' tempatan dan luar negara. Semasa semester 3 beliau mengajar subjek Fiqh II. Terkenal dengan ketegasan 'Syadid' dalam bab fiqh seharian seperti solat berjamaah amat di tekankan kepada para pelajar samaada di MARSAH atau Maahad Johor. Beliau banyak mengarang dan mentahqiq Kitab-kitab Fiqh Nusantara antaranya Sabil al-Muhtadin dan kitab terbaru beliau 'Indahnya Solat Berjamaah' terbitan Telaga Biru Sdn. Bhd.


USTAZ SAMJAN BIN AHMAD
Mengajar Subjek Usul Fiqh semester 2, Guru di Ma'ahad Pontian ini suami kepada Ketua Jabatan Tahfiz al-Quran MARSAH. Sangat bersahaja, sporting dan mudah menjadikan kuliah dan penerangan beliau sangat mudah difahami terutamanya dalam bab Usul Fiqh yang sukar difahami jika tanpa bimbingan guru yang mahir dalam bidang tersebut. Tiba waktu pembentangan kumpulan adalah saat paling sukar kerana apa yang dibentang oleh pelajar tidak difahami namun pada akhir pembentangan beliau akan memberi penerangan yang sangat jelas walaupun bersahaja berselang jenaka. Sifat mesranya dengan pelajar menjadikan beliau pensyarah yang menjadi pilihan utama.


TN. HJ. MD. NOH BIN HJ. ABD. SAMAD
Pesara Guru Sekolah Agama Johor yang kini aktif dalam bidang Tarannum al-Quran dan Berzanji menjadikan beliau salah seorang tokoh dan Hakim Tilawah al-Quran dan Berzanji Negeri Johor. Pernah Mengajar GERKO : Persatuan dan Kelab semester 2 dengan mempelajari asas tarannum berzanji, marhaban dan nasyid berkumpulan menaikkan semula budaya islam negeri Johor yang sudah hampir dilupakan generasi kini. Kepakaran beliau dalam bidang-bidang tersebut membuatkan beliau sangat disegani. Dikesempatan itu juga ramai bakat-bakat diasah dalam kalangan pelajar MARSAH agar kesinambungan budaya tersebut terus berkekalan.


USTAZ ISA BIN MAN
Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPGKTHO Batu Bahat pernah mengajar sambilan subjek Tarannum semester 5. Bersahaja dan bergaya itulah beliau yang kami kenali. Namun, bakat yang ada dalam diri beliau iaitu Bidang Tarannum al-Quran. Kemerduan, burdah-burdah lagu Tarannum yang disampaikan sangat meruntun hati si pendengar. Beliau juga hebat dalam bidang ilmu-ilmu Tarannum, Fiqh dan Bahasa Arab. Aktiviti mempraktis bacaan al-Quran secara berkumpulan bertarannum menjadi aktiviti menarik disamping penjelasan, bantuan dan bimbingan yang tidak putus-putus diberikan oleh beliau. 


EN. AZHAR BIN SALLEH
Merupakan salah seorang penulis yang berasal Kepala Batas, Pulau Pinang. Beliau juga Munsyi Dewan DBP dan Ahli Jawatankuasa Ikatan Penulis Guru Johor yang aktif berceramah, bengkel dan lain-lain kegiatan dalam bidang Bahasa Melayu. Mengajar Pengurusan GERKO semester 1 dengan perkongsiaan yang amat menarik dalam melatih bakal-bakal guru arif dalam pengurusan Pejabat, Majlis dan Protokol. Dimaklumkan kini beliau berkhidmat di Pejabat Pendidikan Daerah Pasir Gudang, dahulunya beliau bertugas sebagai Guru di SK Johor Jaya.


USTAZ SHAHRUL NIZAM BIN ABU SUKOR
Pensyarah lepasan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) kini berkhidmat sebagai Ketua Program atau Koordinator Sijil Intensif Bahasa Arab (Daurah) MARSAH. Mengajar subjek Bahasa Arab Komunikasi semester 5 dengan penuh dedikasi dan bersahaja. Kaedah pengajaran beliau yang banyak menjalankan aktiviti membuatkan pelajar tidak jemu dan bosan dalam kelas. Standart tugasan yang diberikan sangat sesuai dengan pelajar yang ingin memahirkan bahasa arab dalam komunikasi dan perlaksanaan Pengajaran sebagai seorang guru agama.


MISS SAKINAH BINTI MOHAMAD @ MD. SOM
Puteri kepada Ketua Eksekutif MARSAH, Y. Bhg. Prof. Dr. Mohamad @ Md. Som bin Sujimon merupakan pensyarah dari lepasan International Islamic University of Malaysia (IIUM). Mengajar subjek Bahasa Inggeris Komunikasi semester 5 yang mahir dalam bidang Bahasa Inggeris. Sangat berdekasi walaupun baru berusia 20-an dalam mendidik pelajar di Kolej. Kepakaran yang ada pada ayahanda beliau sedikit sebanyak ada dalam dirinya. Berpewatakan pendiam dan kurang berkomunikasi dalam bahasa melayu menjadikan pelajar sentiasa aktif bertutur dalam bahasa rasmi kedua negara tersebut.


Semoga Allah SWT merahmati insan-insan yang telah mendidik
aku dan rakan-rakan dengan jayanya.