Tuesday 3 November 2020

HAJI JUMAAT BIN ABU BAKAR DALAM KENANGAN (1947 – 2014)

 


Oleh : Mohamad Rafiq bin Abd Rahman 


Cikgu Jumaat

Jumaat bin Abu Bakar atau panggilan mesra oleh masyarakat dan anak didiknya sebagai Tuan Haji Jumaat atau Cikgu Jumaat adalah nama yang tidak asing lagi dalam kalangan warga MARSAH dan alam pendidikan khususnya di negeri Johor Darul Ta’zim. Anak kelahiran Kampung Sungai Kalong Getah, Senggarang, Batu Pahat, Johor ini dilahirkan pada 13 Jun 1947, merupakan anak kedua dari sebelas orang adik beradik, bapanya bernama Haji Abu Bakar bin Sulaiman seorang pekebun manakala ibunya Hajah Nyom binti Abd. Rahman adalah suri rumah sepenuh masa. Beliau telah bertemu jodoh pada 28 Januari 1968 bersama isteri tercinta Puan Hajah Patimah binti Haji Ngamin. Seorang anak dan ‘abang ngah’ yang suka bergurau, tidak banyak membantah, peramah dan pemurah dalam perhubungan bersama adik beradik dan sanak saudara membuatkan beliau sangat disegani.

Guru Terlatih Lepasan MPGKK

Menerima pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Kampung Baru sehingga ke peringkat menengah di English College, Batu Pahat. Mula menceburkan diri dalam dunia perguruan sejak tamat persekolahan lagi dengan menjadi guru sementara di SK Parit Kadir, Senggarang. Minat yang mendalam sebagai seorang pendidik berhasil setelah berjaya menjadi seorang guru terlatih lepasan Maktab Perguruan Gaya, Kota Kinabalu, Sabah dan berkhidmat sebagai Guru Bahasa Melayu sekolah menengah seawal tahun 70-an di Sabah, Sarawak dan Johor. Selepas menamatkan pengajian ijazah pertama dalam bidang Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang pada tahun 1980, Bapa kepada lima orang anak ini menjadi pensyarah ilmu pendidikan di Institut Pendidikan Guru (IPG) atau dahulunya dikenali sebagai Maktab Perguruan pada pertengahan 80-an.


Di hari konvokesyen Ijazah pertama di Universiti Sains Malaysia (1980)

Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG)

12 Jun 2003 adalah tarikh bersara wajib beliau dalam Kementerian Pendidikan Malaysia dengan jawatan terakhir sebagai Timbalan Pengarah, Institut Pendidikan Guru (IPG) Sandakan, Sabah pada usia 56 tahun. Faktor usia dan persaraan bukan penghalang, jiwa seorang pendidik masih sebati dalam dirinya. Beliau aktif dalam pelbagai kesatuan, politik dan khidmat masyarakat. Pada November 2004, beliau kembali bekerja selepas bersara dengan menerima tawaran sebagai Jurulatih Utama Kursus Bimbingan Profesionalisme Perguruan dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi bersama Syarikat Prestarian Technology Sdn. Bhd. di Cyberjaya untuk melatih dan membimbing 100,000 orang guru di seluruh negara.  Selepas tamat tugas sebagai Jurulatih Utama selama tiga tahun, beliau terpilih sebagai penceramah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) kepada guru-guru Malaysia untuk kenaikan pangkat ke DG 48 dan DG 54 anjuran Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB) sehingga tahun 2007. Pada tahun 2008 beliau ditawarkan bertugas sebagai penceramah ‘Edu Web TV’ kepada guru-guru dalam daerah Johor Bahru dan pada tahun yang sama juga beliau mula berkhidmat di MARSAH.



Kenangan menjalani kursus di Moray House Edinburgh, Scotland pada tahun 1994


Diploma Pendidikan Islam MARSAH

Pada 08 Oktober 2007 bermulalah kisah penubuhan Pengajian Diploma Pendidikan Islam setelah YB Dato’ Hj. Zainal Abidin Hj. Osman pada ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sumber Manusia, Sains, Teknologi Maklumat dan Inovasi Negeri Johor telah membawa Kertas Kerja ke Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor bagi menimbang cadangan mewujudkan Program Latihan Ikhtisas Perguruan Peringkat Diploma yang diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) bagi Lantikan Tetap Perkhidmatan Pendidikan Gred DGA 29. Sebaik saja kertas kerja diluluskan, secara tidak langsung beliau terlibat dalam usaha dan penggerak pengajian tersebut sehingga Akreditasi penuh daripada MQA diluluskan. Pada 03 September 2008 bermula perkhidmatan beliau sebagai pensyarah ilmu pendidikan dan sekaligus dilantik menjadi Ketua Jabatan di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) yang pada ketika itu Timbalan Mufti Johor, Sohibus Samahah Dato’ Hj. M. Tahrir bin Dato’ Hj Kiyai Samsudin selaku Ketua Eksekutif.


Merakam kenangan bersama isteri tercinta pada pagi 1 Syawal 1435 bersamaan 28 Julai 2014


Ketua Jabatan Pendidikan Islam

Beliau menyambut baik tawaran itu sebagai tanggungjawab sosial berbekalkan kepakaran dan kemahiran yang beliau perolehi selama 32 tahun bergiat dalam bidang pendidikan. Beliau bertanggungjawab mendapatkan khidmat pensyarah yang pakar dalam bidang pendidikan guru  untuk membantu melahirkan 89 orang pelajar ambilan pertama tahun 2008. Antaranya, Ustazah Hajah Maleha binti Lauto, pesara pensyarah IPGKTI yang menerima jawatan sebagai pensyarah sepenuh masa di MARSAH dan pensyarah undangan lain seperti Tn. Hj. Kasim bin Sudin, Tn. Hj. Madon bin Hj. Ridzuan, Tn. Hj. Marwar bin Hj. Kadir, Datin Hjh. Rusnah binti Hj. Mohamad, Pn. Hjh. Besah binti Mohd Rasim, En. Mohd Shah bin Othman, Tn. Hj Kamdi bin Kamil, Tn. Hj. Hamzah bin Sahrom, Tn. Hj. Sasman bin Yasir, Ustaz Hj. Suhaimi bin Hj. Muhammad, Ustaz Mohd Nahi bin Abdullah, En. Razali dan dari IPGKTHO pula ialah Ustaz Esa bin Man, Ustazah Fauziah, Tn. Hj. Mohd Noh bin Sairi, Tn. Hj. Mohd Lazim, Tn. Hj. Miskan dan ramai lagi pensyarah yang sedia memberi bantuan.

Kemahiran ICT

Seorang tokoh pendidik dan penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang sebanyak tiga kali ini aktif mengikuti bengkel, seminar dan kursus berkaitan pendidikan terutamanya dalam bidang Bahasa Melayu, Pengurusan dan ICT. Beliau pernah mengikuti kursus di luar negara selama sebulan pada November 1994 dalam bidang ‘Reflective Teacher in Education’ di Moray House Edinburgh, Scotland. Setiausaha Kehormat, Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia Negeri Johor ini juga memiliki kemahiran dalam mengendalikan peralatan dan mengakses aplikasi ICT selepas bersara dan pernah mengikuti kursus Microsoft Office Specialist pada Januari 2005. Tidak hairanlah jika beliau boleh mengajar mata pelajaran Teknologi Maklumat Komputer (TMK) selain mengajar mata pelajaran bahasa Melayu dan ilmu pendidikan di Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH) atau mana-mana ceramah undangan.

Melahirkan Guru Agama Berkualiti

Selaku Ketua Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum (JPPU) yang pertama atau dahulunya Jabatan Pendidikan Islam, Kolej Pengajian Islam Johor (MARSAH), beliau bermatlamat menyemarakkan minat yang tinggi kepada bakal-bakal guru agama yang berkualiti serta mampu mengaplikasi teknologi maklumat dan komunikasi dalam menggalakkan usaha dan inisiatif untuk mentransformasi metodologi pengajaran dan pembelajaran Pendidikan Islam yang lebih berkesan. Beliau juga yakin dengan keterampilan yang ada pada pelajarnya dapat membuktikan keupayaan menjadi guru terlatih yang cemerlang sepanjang hayat. Dari September 2008 hingga September 2014 sebanyak tujuh pengambilan telah dibuka, seramai 697 bakal guru mendapat latihan ikhtisas di MARSAH dan separuh darinya telah bergraduat dan berjaya ditempatkan ke sekolah-sekolah agama kerajaan Johor sebagai Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma (PPPLD) Guru Agama gred DGA 29 tetap dan berpencen.

MARSAH dan Pelajarnya

Menurut anak sulung Allahyarham, Hj. Thadzul Azali (45), perasaan sayang dan cinta bapanya terhadap MARSAH dan pelajarnya tiada tandingan. Walaupun usia semakin lanjut, beliau tetap menguatkan langkah demi mendidik anak bangsa, “Sayang dan cintanya kepada MARSAH tidak dapat saya nafikan. Pernah dicadangkan untuk beliau menamatkan kontrak tetapi ditolaknya.” ujarnya yang juga mengikuti jejak langkah bapanya sebagai pensyarah di IPG. “Saya juga sebagai pendidik merasakan pelajar merupakan antara agen pemberi semangat dan kekuatan untuk saya terus berkhidmat dan mencurah bakti”. Justeru, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada seluruh warga MARSAH kerana telah memberi peluang kepada Allahyarham bapanya untuk terus berkhidmat dan mencurah bakti hingga ke akhir hayat dan menganggap segala jasa dan pengorbanan bapanya sebagai suatu amal jariah yang menjadi bekalan di akhirat kelak. ‘Luahan Hati’ anakandanya itu dimuatnaik menerusi akaun laman sosial rasmi Facebook Majlis Perwakilan Mahasiswa MARSAH pada 9 Februari 2015.

Jasanya tetap dikenang

“Dilahirkan menjadi pendidik, sehingga akhir hayat dirinya seorang pendidik”, itulah istilah yang sesuai. Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 30 Disember 2014 jam 9.55 malam di Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat, Johor pada usia 68 tahun. Jenazah dibawa pulang ke kediamanya sebelum disemadikan di tanah perkuburan Kampung Sungai Kalong Getah, Senggarang, Batu Pahat. Allahyarham meninggalkan seorang balu, lima orang anak dan 16 orang cucu. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau sangat dikenang khususnya dalam bidang pendidikan untuk melatih, membentuk dan mendidik bakal guru dan guru-guru agama terlatih demi menepati matlamat dan Falsafah Pendidikan Islam Negeri Johor. Ratusan sanak saudara, sahabat handai, rakan seperjuangan dan anak-anak didik terdiri dari segenap lapisan usia hadir mendoakan dan memberi penghormatan terakhir kepada sang murabbi.

Selamat Bertugas Ketua JPPU Baharu

Mulai Januari 2015, Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum (JPPU) MARSAH diterajui Puan Hajah Maleha binti Lauto. Pensyarah tetap Jabatan Pendidikan dan Pengajian Umum ini dilantik sebagai Ketua Jabatan JPPU kedua menggantikan Allahyarham Tuan Haji Jumaat Abu Bakar yang telah berkhidmat selama lebih enam tahun. Pesara pensyarah di IPGKTI berkelulusan Sarjana Bimbingan dan Kaunseling UTM ini pernah memegang jawatan sebagai Penyelaras Praktikum dan memangku Ketua Jabatan pada 31 Disember 2014 hingga 08 Januari 2015. Semoga dengan perlantikan ini, hala tuju, matlamat, visi dan misi jabatan dapat dicapai.

Kenangan penulis bersama Allahyarham di Majlis Sambutan Aidil Fitri peringkat MARSAH pada 03 September 2013



Gambar kenangan bersama ahli keluarga, duduk dari kiri ; Pn. Intan Adura Hj. Jumaat (Guru), Tn. Hj. Jumaat Abu Bakar dan Pn. Hjh. Patimah Hj. Ngamin (Isteri). berdiri dari kiri ; En. Akmal Hakim Hj. Jumaat (Pembantu Jurutera), En. Adi Afizul bin Hj. Jumaat (Bekas Guru), Tn. Hj. Thadzul Azali Hj. Jumaat (Pensyarah) dan En. Faizal Azli bin Hj. Jumaat (Pensyarah).

Saturday 25 April 2020

SENARAI KEKANANAN RAJA-RAJA MELAYU



Senarai Kekananan kebawah Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu bedasarkan sandangan dan tempoh lama memerintah (26 April 2020) :



1. SERI PADUKA BAGINDA YANG DI-PERTUAN AGONG XVI


KDYMM Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Ibni Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta'in Billah, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur pada 11 Januari 2019 dan ditabal sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke-XVI pada 30 Julai 2019.



2. SULTAN TERENGGANU


KDYMM Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Terengganu Darul Iman pada 15 Mei 1998 sehingga ditabalkan pada 4 Mac 1999 dan Baginda merupakan Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-13 pada 13 Disember 2006 hingga 12 Disember 2011.

3. RAJA PERLIS


DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail, Baginda naik Takhta Kerajaan Negeri Perlis pada 17 April 2000 sehingga ditabalkan pada 7 Mei 2001 dan baginda merupakan Yang Dipertuan Agong Malaysia ke-12 pada 13 Disember 2001 hingga 12 Disember 2006.


4. SULTAN SELANGOR


DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Selangor pada 22 November 2001 dan ditabalkan pada 8 Mac 2003.


5. YANG DI-PERTUAN BESAR NEGERI SEMBILAN


DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir. Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Sembilan Darul Khusus pada 29 Disember 2008 dan ditabalkan pada 26 Oktober 2009.


6. SULTAN JOHOR


DYMM Sultan Ibrahim ibni Almarhum Sultan Iskandar, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Johor Darul Ta’zim pada 23 Januari 2010 dan dimahkotakan pada 23 Mac 2015.


7. AL-SULTAN KELANTAN


KDYMM Sultan Muhammad V, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Kelantan pada 13 September 2010 dan merupakan Yang Di-Pertuan Agong Malaysia ke-15 pada 13 Disember 2016 hingga 6 Januari 2019.


8. PADUKA SERI SULTAN PERAK


DYMM Paduka Seri Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-lah, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan pada 29 Mei 2014 dan ditabalkan pada 6 Mei 2015.


9. SULTAN NEGERI KEDAH


KDYMM Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin ibni Almarhum Sultan Badlishah, Baginda Naik Takhta Kerajaan Negeri Kedah Darul Aman pada 12 September 2017 dan ditabalkan pada 22 Oktober 2018.


10. PEMANGKU RAJA PAHANG


KDYTM Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni  Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah, Tengku Mahkota Pahang. Baginda dimasyhurkan pada 29 Januari 2019 sebagai Pemangku Raja Pahang sepanjang tempoh pemerintahan ayahanda baginda sebagai Yang Di-Pertuan Agong ke- XVI.